Aurat Dalam Islam


Dewasa ini kita sering didedahkan di dada akhbar tentang perilaku sumbang mahram, perlakuan seks luar tabi'e dan kes rogol yang bukan sahaja melibatkan orang luar tetapi keluarga sendiri seperti bapa rogol anak,abang rogol adik kandung dan sebagainya.

Kejadian "Haruan makan anak" adalah kes yang lumrah hingga tidak menimbulkan perasaan gerun,marah,simpati kepada masyarakat.

antara faktor terjadinya perkara di atas, adalah pengabaian kaum hawa dalam perkara-perkara yang melibatkan tentang aurat mereka. Ini ditambah dengan pengaruh asing dalam dunia fesyen yang mudah mempengaruhi kaum wanita hingga meminggirkan soal-soal agama.

Kita tidak menolak fesyen, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.

PENGERTIAN AURAT

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Di dalam islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Di dalam risalah ini akan diterangkan beberapa perkara yang bersangkutan dengan aurat untuk dijadikan renungan dan tatapan bersama.

PERINTAH MENUTUP AURAT

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh allah s.w.t dalam surah al-ahzab ayat 33 yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada allah dan rasulnya. Sesungguhnya allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai "Ahlu Bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.

Dengan menutup aurat, wanita islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.

Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali.Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang,dengan itu juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.

Dalam hal ini allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani.


ASAS AURAT

Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita.Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :

1. Aurat Ketika Sembahyang

Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Aurat Ketika Sendirian

Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat antara pusat dan lutut.

3. Aurat Ketika Bersama Mahram

Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.

Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatsusila wanita terutana dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan berlaku.

Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan dapat menutup syahwat lelaki. Pakaian yang digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.

Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu :

1.Suami

2.Ayah,termasuk datuk belah ibu dan bapa

3.Ayah mertua

4.Anak-anak lelaki termasuk cucu sama ada dari anak lelaki atau perempuan

5. Anak-anak suami

Dalam perkara ini islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.

6. Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa

7. Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya

8. Anak saudara dari saudara perempuan

9. Sesama wanita sama ada kaitan keturunan atau seagama

10. Hamba sahaya

11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat

12. Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang telah mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.

Al-quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".

Imam Syafie berpendapat perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat diatas terbahagi kepada dua makna iaitu:

1. Perhiasan yang bersifat semulajadi seperti muka,pipi,mulut,mata,bibir,hidung,kaki,betis,peha dan lain-lain anggota.

2. Perhiasan seperti pakaian,alat-alat solek,cincin,rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.

Oleh itu, umat islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

4.Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram

Kewajipan menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya.

Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.

Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.

Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.

5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir

Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya : " Tidak halal kaum wanita islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".

6. Aurat Ketika Bersama Suami

Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.

Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan suaminya.

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

PAKAIAN DALAM ISLAM

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, islam tidak menetapkan pakaian tertentu tetapi wanita islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:

i. Pakaian itu hendaklah menutup aurat

ii. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan.

Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid) , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.

Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab :" Saya telah berikan kepada isteri saya". Lalu rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :" Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak digalas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)".

iii. Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan.

Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.

iv. Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang melihatnya.

v. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki.

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina".

vii. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.

Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.

Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan allah s.w.t dan lelaki akan memandang mereka dengan pebuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun.

KESIMPULAN

Di antara tujuan berpakaian itu, ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian-bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian yang semakin nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Justeru itu, tutuplah aurat dan berpakaianlah mengikut akhlak yang dianjurkan oleh islam.


*artikel dari laman sesawang JAIS
.

Kenduri Kahwin : Antara Sunnah Dan Adat


Hidup berpasangan adalah satu fitrah yang telah sedia tertanam dalam jiwa manusia seluruhnya. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan adanya ikatan perkahwinan, jiwa menjadi tenang dan tenteram, mendapat keturunan yang halal lagi sistematik, sekali gus ikatan perkahwinan juga dapat mengawal diri daripada berlakunya pelbagai bentuk penzinaan, homoseksual, pelacuran dan sebagainya. Setiap pasangan yang telah berkahwin pasti mengimpikan sebuah perkahwinan yang bahagia dan rumah tangga yang harmoni beralaskan kasih sayang, cinta mencintai dan kasih mengasihi antara suami dan isteri.

Rata-rata masyarakat Melayu Islam di Malaysia dulu dan kini mengadakan kenduri kahwin bagi meraikan pasangan pengantin yang telah dinikahkan dengan mengadakan jamuan makan kepada orang ramai, khususnya kepada saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kenduri untuk pernikahan sepasang pengantin ini merupakan unjuran dan sunnah Rasulullah SAW. Hukumnya adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Hal ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a katanya : ‘Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengan Zainab ibn Juhsy, baginda mengundang orang ramai, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.' (Riwayat al-Bukhari)
 

Dari Anas bin Malik ra menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya : ‘Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab : Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Sabda Rasulullah: ‘Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.'
 

Di negara kita bulan November dan Disember atau yang menandakan waktu cuti sekolah kebiasaannya dipenuhi dengan pelbagai jemputan ke majlis perkahwinan. Paling tidak dalam satu hari pasti mendapat jemputan sebanyak dua atau tiga buah rumah. Waktu ini dipilih kerana masanya yang sesuai untuk semua sanak saudara dan ahli keluarga dapat berkumpul berbanding hari-hari biasa.
Antara hikmah Islam mengalakkan diadakan kenduri kahwin adalah:

* Melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana dapat mendirikan rumah tangga.
* Melahirkan rasa kegembiraan atas ikatan perkahwinan.
* Mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa pasangan telah menjadi suami isteri yang sah.
* Memberi peluang kepada para tetamu bersuai kenal di samping merapatkan hubungan silaturrahim.


Jika diperhatikan amalan dalam masyarakat kita, jarang sekali kedengaran ucapan selamat atau mendoakan pasangan yang baru berkahwin. Apa yang biasa didengar adalah "Selamat Pengantin Baru", "Semoga bahagia hingga ke anak cucu" dan sebagainya. Sebaliknya Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh doa yang terbaik untuk diamalkan seperti mendoakan kebaikan, keberkatan dan memohon keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan pengantin mendapat berkat yang selayaknya dan kita juga mendapat ganjaran kerana mengamalkan sunnah baginda. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW jika memberikan ucapan doa kepada pasangan yang berkahwin, baginda berkata ‘Semoga Allah memberikan keberkatan padamu, dan menyatukan kamu berdua dalam kebaikan.' (Riwayat Abu Daud)

Sunnah dalam mengadakan kenduri;

* Diadakan secara sederhana yang tidak perlu membawa kepada pembaziran. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Masyarakat kita pada hari ini kebanyakkannya mengadakan kenduri kahwin sampai terpaksa berhutang. Itulah amalan manusia yang lebih mementingkan adat dari sunnah Nabi sendiri.
* Kenduri dilakukan tanpa sifat riyak dan bangga diri.
* Tidak mengandungi unsur-unsur khurafat atau adat-adat yang membawa kepada syirik
* Tidak menghidangkan makanan yang mengandungi syubhah.
* Tidak mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak) dan hiburan yang melalaikan.
* Tidak mengkhususkan jemputan hanya untuk orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin dilupakan.
* Disunatkan menghulurkan pertolongan bagi mengurangkan beban tuan rumah dan dapat menyuburkan semangat gotong royong di kalangan masyarakat.

Laksanakanlah walimah atau kenduri kahwin sekadar mampu. Apa yang penting ia dilakukan dengan niat yang ikhlas selain untuk memanjatkan kesyukuran tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bukan kerana menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Mudah-mudahan majlis yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan Allah SWT. Kenduri yang berkat itu amat penting sama pentingnya akad nikah mengesahkan ikatan suami isteri. Apalah gunanya jika wang dihabiskan untuk majlis besar-besaran tapi jauh daripada keberkatan Allah sehingga pengantin terpaksa berhutang dan meminjam. Hal ini memberi implikasi dalam melaksanakan tanggungjawab suami isteri dan membina keluarga bahagia. Justeru, laksanakanlah walimah berlandaskan sunnah semoga perkahwinan diberkati Allah SWT.

*artiikel dari JAIS
.

Asal Usul Kejadian Manusia


Manusia diciptakan dari Nabi Allah Adam a.s. dan Adam pula dijadikan oleh Allah s.w.t dari tanah. Hanya Adam a.s dijadikan daripada hakikat tanah manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar daripada dua tulang sulbi manusia.

Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Shad: 71-74

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfiman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan roh(ciptaan) Ku: Hendaklah kamu bersyukur dengan bersujud kepadanya. Lalu seluruh malaikat bersujud, kecuali Iblis. Dia menyombongkan diri dan dia termasuk orang-orang yang kafir"

Didalam Surah At-Thariq : 5-7

" Maka hendaklah manusia memikirkan: daripada apakah ia diciptakan? Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (kedalam rahim). Yang keluar dari tulang salbi lelaki dan tulang dada perempuan"

Nabi bersabda:

"Semua kamu berasal dari Nabi Adam dan adam dijadikan daripada tanah"

Menurut riwayat ketika, Allah SWT menitahkan kepada Malaikat Jibril a.s supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah untuk mencipta Adam a.s, bumi tidak membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi khuatir Adam akan melakukan kemungkaran kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar sumpah bumi.

Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail pula untuk turun ke bumi bagi mendapatkan tanah sebagaimana Malaikat Jibril. Jawapan bumi tetap sama sebagaimana Jibril lalu Allah memerintahkan pula kepada malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan jawapan yang sama.

Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Allah berfirman :

"Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas nama Ku."

Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia kehadrat Allah.

Lalu Allah berfirman lagi:

"Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah, dan di kemudian hari nanti akan Aku tugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka Izrail merarasa amat khuatir kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia. Lalu Allah berfirman lagi:

"Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh,terbakar, sakit dan sebagainya."

Jenis-jenis Tanah yang digunakan dalam penciptaan Nabi Adam a.s:

Menurut riwayat tanah yang diambil yang digunakan untuk menjadikan adam mempunyai lima jenis warna iaitu putih, hitam, kuning, coklat, dan merah. Oleh yang demikian manusia memiliki berbagai warna kulit. Tanah yang digunakan untuk menjadikan Adam a.s ialah sebagaimana berikut:

1. Tanah tapak Baitul Maqdis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tapak Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah(Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah Syurga
12. Tanah Tha'if

Menurut Ibnu Abbas:

1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq ,kerana disitu tempat sujud kepada.
4. Mukanya dari tanah Aden , kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar,tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah,untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris , tempat beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon . Disitulah tempat seks(berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India , tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana disitulah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap Syahadat,bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.

Proses kejadiannya:

1. Ketika Allah jadikan Adam, tanah-tanah tersebut dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api sehingga menjadi tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Kemudian Allah resapkan Nur (cahaya) kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".
2. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah.
3. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" . Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.
4. Demikian pula roh,ketika itu diperintah masuk ke dalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Kerana Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai pengetahuan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam, tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.

Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala, dan dua buah liang di bawah badan letaknya.

Tujuh buah letaknya adalah:

1. Di Kepala ialad Dua liang mata, Dua liang telinga, Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2. Dibawah ialah Sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima buah pancaindera:

1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri, ke kanan dan kebawah di mana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.

Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman "Yarhamukallah" yang membawa erti: "Semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika seseorang itu bersin, menjadi sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya disunatkan pula mengucapkan "Yarhamukallah". Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar).

Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Seketika itu Adam terasa lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.

Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah kelangit yang ketujuh sebelum dibawa ke Syurga tempat mula-mula Adam tinggal.

Siti hawa telah dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk kiri nabi Adam ketika berada di dalam Syurga. Ketika mereka telah memakan buah larangan atas pujukan Iblis maka tertanggallah pakaian mereka dan akhirnya di turunkan oleh Allah di bumi. Menurut riwayat nabi Adam turun di India. Tetapi mengikut setengah riwayat di Mekah dan terpisah dengan Hawa. Akhirnya mereka bertemu di Padang Arafah (Padang Perkenalan).

Umur Nabi Adam menurut satu riwayat adalah 930 tahun dan mengikut riwayat yang lain 934 tahun. Ketinggiannya adalah 60 hasta dan ukuran tapak kaki Adam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir ialah 11 jengkal. Siti hawa telah melahirkan anak sebanyak 40 kali dan setiap kali beranak adalah kembar lelaki dan perempuan. Oleh yang demikian mengikut syariat yang ada pada waktu itu maka dibenarkan berkahwin adik beradik tetapi dengan syarat bukan dengan kembar yang lahir sekali.

Wallahualam

*artikel dari laman sesawang JAIS
.

Cinta Allah adalah cinta hakiki



CINTA monyet adalah asam garam yang pernah dilalui pada zaman remaja. Apabila sudah bercinta maka bermulalah episod saling merindui dan tanda seseorang itu sudah 'diserang' penyakit angau.

Untuk mendapat cinta, manusia berusaha apa saja cara tidak kira di mana dan masa asalkan sasaran cinta tercapai. Dalam mencari cinta sejati manusia, bukan hanya remaja, kadang-kadang tersasar dalam erti sebenar cinta.

Kita hanya bergelut mencari cinta manusia yang tidak bertahan lama dan hanya kadangkala bersifat lipstik. Lupa kepada cinta agung yang menjadi sumber segala cinta.

Cinta Allah adalah cinta hakiki. Kemuncak segala motivasi, samudera segala bekalan dan kesudahan segala keindahan.


Cinta yang membawa kepada segala kebaikan dan berkesudahan menikmati dua syurga iaitu syurga dunia dan akhirat.


Jika Allah adalah cinta segala cinta, dunia akan bertenggek di menaranya. Yang patut diusaha dengan sekuat tenaga, bagaimana hendak dapat cinta Allah.

Sebagai panduan, di sini dijelaskan beberapa faktor dan resipi bagaimana hendak mendapatkan cinta agung Allah.

1. Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al-Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Sebab kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan pencipta-Nya.

Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya."

Kemudian dalam keterangan lain Rasulullah menjelaskan: "Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak."

Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati.

Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran.

Hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan ayat al-Quran.

Kisah seorang sahabat bernama Ubay yang pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis.

Nabi uji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab: "Ayat kursi." Banyakkanlah membaca ayat ini.

Selain itu, jika hendak dapat cinta Allah seseorang itu perlu solat malam (Qiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam.

Tapi bukan untuk solat, tetapi untuk tengok bola, menonton filem, berborak serta melepak. Qiyamullail tidak semestinya bangun pada jam tiga atau empat pagi.

Cukup sekadar sembahyang dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Ketika menonton siaran bola sepak pula, ketika perlawanan berhenti pada waktu rehat kita ambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat.

Antara cara yang boleh dilakukan ketika Qiyamullail ialah:
1. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa.
2. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam.
3. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun Qiyamullail memang tidak jadi.
4. Tidur sekejap waktu tengah hari.

Justeru, hendak dapat cinta Allah ialah dengan merenung ayat Allah. Merenung ayat Allah maknanya merenung kejadian yang Allah ciptakan seperti kejadian langit yang tiada bertiang tetapi boleh tertegak dengan kukuhnya.

Allah sembunyikan malam dan datangkan cerah dan siang. Bagaimana Allah jadikan kita? Besarkan kita? Kemudian usia kita menginjak remaja, akhirnya menjadi tua.

Kemudian bagaimana Allah jadikan tumbuhan nampak sama, tetapi tidak serupa? Buah rambutan nampak serupa, tetapi tidak sama.

Semua ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita perlu merasa betapa lemah dan kerdilnya diri kita terhadap keagungan Allah.

Maka jika kita cinta kepada Allah maka Allah pasti akan membalas semula cinta kita.

*artikel myMetro..
.

Sahabat Sejati



“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

'Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..'

ALLAH S.W.T. mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
• Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
• Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
• Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
• Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
• Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
• Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
• Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
• Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
• Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
• Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
• Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
• Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
• Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
• Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahajasahabat seperti dibawah:

sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yangbanyak, dan ia hanya mementingkan dirisendiri.

sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-NYA.
.